PalestinSemasa

Tentera Israel mengaku sengaja serang Hospital Al Shifa Gaza

Ketua Staf Tentera Israel, Herzi Halevi mengakui bahawa operasi yang dijalankan oleh tenteranya di Kompleks Perubatan Al Shifa di Bandar Gaza bertujuan untuk “menekan” Hamas semasa rundingan yang sedang berjalan di Qatar untuk mencapai perjanjian pertukaran tebusan.

Halevi membuat kenyataan yang disiarkan di televisyen. Tentera Israel mempertahankan serangan ke atas kawasan yang disekat. “Ini [serangan kejam yang berterusan di Gaza] sangat penting untuk menekan Hamas, sangat penting untuk menekan rundingan,” dakwa Halevi.

Terdahulu, puluhan rakyat Palestin terbunuh dan cedera pada hari Rabu dalam serangan tentera Israel berhampiran Kompleks Perubatan Al Shifa di barat Bandar Gaza ketika mereka berbuka puasa pada hari ke-10 bulan suci Ramadan.

Pengeboman artileri mengakibatkan kebakaran meluas di kawasan itu, membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan memaksa ratusan untuk melarikan diri ke kawasan kejiranan timur Kota Gaza seperti Tuffah, Zeitoun, Shejaiya, dan Sabra, lapor wartawan Anadolu.

Tentera Israel mendakwa ia telah membunuh kira-kira 90 lelaki bersenjata dan menangkap 160 dalam serbuan di hospital Al Shifa, dakwaan yang dinafikan oleh Hamas.

Ismail Al-Thawabta, pengarah pejabat media Gaza, berkata kesemua mereka yang terbunuh adalah pesakit yang cedera dan orang yang dipindahkan di dalam hospital.

“Tentera Israel mengamalkan pembohongan dan penipuan dalam menyebarkan naratifnya bagi mewajarkan jenayahnya yang berterusan dan melanggar undang-undangr undang-undang antarabangsa, dan undang-undang kemanusiaan,” katanya.

Israel berdepan kritikan hebat pada November lalu apabila tentera mereka menyerbu hospital Al Shifa.

“Apa yang berlaku di Hospital Al Shifa adalah jenayah perang dan merupakan sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel,” kata pegawai kanan Hamas Basem Naim, yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri kesihatan.

Sementara itu, rundingan antara Israel dan Hamas diteruskan di Doha, melalui pengantaraan Qatar, Mesir, dan AS, untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan, di tengah-tengah serangan dahsyat Israel ke atas Gaza yang dikepung yang berterusan selama enam bulan.

Sejak pagi Isnin, pasukan tentera Israel terus menyerbu kompleks perubatan Al Shifa, walaupun terdapat beribu-ribu pesakit, dan membunuh berpuluh-puluh dan menahan ratusan rakyat Palestin.

Ini adalah kali kedua tentera Israel menyerbu kompleks itu sejak permulaan perang ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023. Mereka menyerbunya pada 16 November tahun lalu selepas mengepungnya selama seminggu dan kemudian berundur selepas lapan hari, memusnahkan halamannya, bangunannya, dan peralatan perubatan, serta penjana kuasa.

Israel telah melancarkan serangan ketenteraan maut ke atas Gaza yang terkepung sejak 7 Oktober.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button