PUTRAJAYA: Tempoh penungguan dos kedua melibatkankira-kira sejuta penerima vaksin AstraZeneca di negara ini akan dipendekkan daripada 12 minggu ke sembilan minggu.
Ia susulan ketibaan satu juta dos vaksin yang disumbangkan kerajaan Jepun, semalam.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata penerima vaksin berkenaan pada Mei lalu akan mula menerima pemberitahuan notifikasi untuk dos kedua dalam masa terdekat.
“Sebanyak satu juta dos vaksin AstraZeneca telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Berdasarkan kepada cadangan jawatankuasa teknikal bawah JKJAV, kita akan mengurangkan sela masa antara dos dari 12 minggu ke sembilan minggu,” – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) / Khairy Jamaluddin
Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) minggu lalu.
Penerima dos pertama vaksin AstraZeneca akan menerima suntikan kedua dalam tempoh sembilan minggu daripada suntikan pertama, sekali gus menjadikan jumlah vaksin AstraZeneca Malaysia setakat 1 Julai 2021 adalah sebanyak 1,828,000 dos.
Terdahulu, bekalan vaksin yang diterima secara pukal itu tiba menggunakan pesawat Japan Airlines (JAL723) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pukul 5.45 petang, semalam.
Selain Khairy, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka turut berada di KLIA menyaksikan ketibaan vaksin berkenaan.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu sumbangan ini juga melambangkan keprihatinan Jepun dan kepercayaan mereka terhadap kerajaan Malaysia dalam mengekang pandemik Covid-19 dunia.
“Tahun depan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur. Kerjasama Jepun-Malaysia dalam memerangi penularan Covid-19 bukan hanya pada pemberian vaksin semata-mata, sebaliknya kerajaan turut menyumbang bantuan kemanusiaan dan peralatan perubatan serta berhasrat terus bekerjasama,” – Perdana Menteri Jepun / Yoshihide Suga
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar / AJ