Semasa

Tarikh peperiksaan SPMU 2021 diumumkan

KUALA LUMPUR : Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2021 akan dilaksanakan pada 21, 22 dan 23 September 2021.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia, seramai 8,077 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU tahun 2021 di 201 pusat peperiksaaan di seluruh negara.

Katanya lagi, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPMU tahun 2021, seramai 1,568 petugas peperiksaan telah dilantik.

“Lembaga Peperiksaan (LP) ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung. Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my

“Calon diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, LP juga meningatkan calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia

Hal ini bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penuluran wabak Covid-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button