
KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Khamis, 20 April bersamaan 29 Ramadan 1444Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Raja-raja Melayu.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen.

Sebanyak 29 lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu Pontian Kecil, Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.
Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong, Kuantan.
Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
BACA JUGA
Tarikh Aidilfitri di Malaysia, jangan ambil dari Tik tok atau Whatsapp