Tarikh buka institusi pendidikan KPM di Selangor, Melaka, KL Putrajaya kekal 4 Oktober
PUTRAJAYA : Pembukaan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri Selangor dan melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal pada 4 Oktober 2021 berrdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN.
Menurut KPM, pembukaan institusi pendidikan itu selari dengan peralihan fasa PPN bagi Selangor, Melaka dan Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa esok.
KPM dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidkan Khas Intergrasi (PPKI).
Murid Tingkatan 6 Semester 2, International Baccalaureate Diploma (IBD) Tahun 2, Program Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Sukan Malaysia dan Murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).
“Bermula 1 Oktober 2021, negeri Selangor dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 3 PPN.
“Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan mengikut ketetapan Fasa 3 PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021.
“Ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain melipui murid prasekolah, kelas peepriksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, IBD, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya lagi, pembukaan institusi pendidikan bagi Kedah pula kekal pada 10 Oktober 2021 untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level).
KPM berkata, memandangkan Kedah akan beralih ke Fasa 2, pengoperasian institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa 2 PPN hanya akan bermula pada 17 Oktober 2021.
Susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa 3 berkuat kuasa 1 Oktober 2021, pembukaan institusi pendidikan bagi zon ini kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN.
“Pengoperasian institusi pendidikan di Zon Selatan negeri Sarawak berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021,” katanya.
KPM juga memaklumkan bahawa merujuk pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Majlis Keselamatan Negara di beberapa kawasan, semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan PKPD adalah ditutup sepanjang ia berkuat kuasa.
Tambahnya, semua murid di kawasan yang terlibat perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Institusi pendidikan bawah KPM juga merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.
Dalam pada itu, KPM turut menyeru agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya.