PUTRAJAYA : Tarikh akhir pemberian dos satu vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) ditetapkan pada 15 Mei.
Perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C).
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali memaklumkan, dos satu vaksin Covid-19 jenis Comirnaty dan CoronoVac tidak akan lagi ditawarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada kanak-kanak yang berusia lima hingga 12 tahun mulai 16 Mei.
“Dengan pengumuman ini, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima vaksin Covid-19, perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi Covid-19 sebelum 15 Mei.
“Selepas tarikh ini, vaksin kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia.
“Manakala vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta. Bagaimanapun, keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pendaftaran vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak dalam kategori tersebut boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera dan perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diperjelaskan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, keputusan itu dibuat berikutan trend permintaan vaksinasi ibu bapa serta penjaga terhadap kanak-kanak yang semakin menurun dan KKM telah mengkaji semula tempoh pelaksanaan PICKids.
Ujarnya lagi, permintaan vaksinasi yang rendah boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi dan bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu perlu dibuat.