DuniaSemasa

Taliban wajibkan pelajar perempuan berniqab

KABUL : Taliban wajibkan pelajar perempuan yang ingin mendaftar masuk ke universiti swasta untuk memakai niqab dan jubah.

Dalam dokumen yang dikeluarkan pihak berkuasa pendidikan Taliban, syarat lain yang diutarakan termasuk pengasingan kelas bagi pelajar lelaki dan perempuan sekurang-kurangnya dipisahkan dengan tirai.

Selain itu, Taliban turut mengarahkan pelajar perempuan hanya diajar oleh pensyarah wanita, namun, jika tiada pensyarah wanita, lelaki  barusia dengan perawatakan baik boleh dijadikan sebagai pengganti.

Peraturan yang sama terpakai untuk kolej swasta dan universiti ditubuhkan pada pemerintahan Taliban,  bagaimanapun berakhir pada 2001 ekoran serangan tentera Amerika Syarikat (AS).

Sepanjang tempoh terbabit, gadis dan wanita sukar untuk mendapatkan pendidikan yang betul disebabkan  kelas yang dipisahkan selain perlu ditemani saudara lelaki setiap kali keluar dari rumah.

Tiada arahan untuk wanita memakai burqa dalam peraturan baharu yang dikeluarkan semalam, sebaliknya hanya niqab yang menutupi sebahagian besar wajah dengan hanya mendedahkan mata.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, burqa dan niqab hampir tidak digunakan di Kabul dan hanya digunakan di beberapa bandar lebih kecil.

Arahan baharu Taliban itu dikeluarkan ketika universiti swasta dijangka dibuka semula esok.

“Universiti diminta menyediakan pensyarah wanita untuk pelajar wanita berdasarkan kemudahan yang mereka miliki.

“Selain itu, pihak pengurusan mesti menyediakan pintu masuk dan keluar yang berbeza bagi pelajar perempuan serta lelaki,” menurut arahan itu.

Disebabkan pelajar perempuan diwajibkan belajar di kelas berasingan, mereka juga perlu mengakhiri pembelajaran lima minit lebih awal berbanding pelajar lelaki untuk mengelakkan mereka bergaul di luar.

Mereka kemudian perlu menunggu di ruangan khas sehingga rakan pelajar lelaki meninggalkan bangunan.

Seorang profesor yang enggan dikenali berkata secara praktikal, ia adalah syarat yang sukar kerana institusi pendidikan tidak mempunyai kelas atau tenaga pengajar perempuan yang mencukupi untuk tujuan itu.

“Namun, perkembangan di mana mereka membenarkan perempuan untuk bersekolah dan melanjutkan pengajian di sekolah adalah satu langkah positif, ” katanya kepada AFP.

Sebelum Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 16 Ogos lalu, wanita dan lelaki di Afghanistan boleh belajar serta menghadiri seminar bersama.

AFP

Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button