KUALA LUMPUR: Polis sahkan Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disiasat kerana didapati tidak mengenakan pelitup muka semasa mengadakan satu sidang media pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, sisten Komisioner Mohamad Zainal Abidin Abdullah berkata, siasatan berhubung dengan tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media selepas selesai meninjau lokasi insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur.
Ujarnya, siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Tajuddin sudah dimulakan pada hari sama.
katanya lagi, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Semua pihak yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
justeru itu, pihak PDRM menasihati orang ramai agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil di bawah undang-undang dan peraturan yang masih berkuatkuasa,” katanya.