Semasa

JAKIM teliti maklumat berkaitan syarikat Atomy

Dakwaan menyokong aktiviti dakwah Kristian

PUTRAJAYA :  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) mengadakan beberapa perbincangan dan mengambil tindakan bagi mengumpul maklumat berkaitan dengan syarikat Atomy Sdn Bhd yang didakwa terbabit gerakan Kristianisasi.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17 Februari lalu membincangkan kertas ‘Pandangan Hukum Berkenaan Perniagaan Yang Menyumbang Kepada Gerakan Anti-Islam’.

Dalam satu kenyataan JAKIM menjelaskan muzakarah telah membuat ketetapan bahawa kajian lanjut perlu dilaksanakan kerana ianya melibatkan banyak pihak.

Tambah kenyataan itu lagi, sebarang bentuk kenyataan yang dibuat mengenai pihak lain perlu melalui beberapa peringkat penyelidikan dan kajian mendalam serta bukti yang kukuh.

“Justeru, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pakar dalam bidang mua’malat, akidah dan agensi berkaitan seperti Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan kajian yang berkaitan. Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam,” – kenyataan JAKIM 24 Mei.

Sebelum ini, seorang individu dikenali sebagai Mohd. Fadli Salleh membangkitkan isu berkaitan syarikat itu menerusi hantaran di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, sebarang bentuk kenyataan yang dibuat mengenai pihak lain perlu melalui beberapa peringkat penyelidikan dan kajian mendalam serta bukti yang kukuh.

Mohd Fadli meminta supaya JAKIM memberi kenyataan yang lebih jelas mengenai syarikat Atomy yang didakwa menyokong aktiviti Kristianisasi. – Sinar Harian 

Oleh : Pelatih Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM – Arif Ikhwan

Related Articles

Back to top button