KUALA LUMPUR : Setelah selesai melaksanakan tugas di Karnival Kids Jamboree pada minggu lalu, Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kembali berkhidmat untuk warga penduduk Perumahan Awam (PA).
Terkini, giliran Perumahan Awam Seri Perlis 2 yang terletak di Kuala Lumpur menjadi lokasi mobile clinic menyantuni masyarakat dengan memberikan pemeriksaan kesihatan percuma.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga PA tersebut, Latif Abu Hassan, beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak MAIWP dan MAPIM atas khidmat dan rawatan percuma ini.
“Saya rasa amat bertuah dan teruja kerana Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini sudi datang ke sini dan secara langsung dapat membantu meringankan beban penduduk.
“Doktor yang merawat sangat berpengalaman dan apabila mereka menerangkan tahap kesihatan kita, kita pun rasa yakin, mereka bukan sahaja bagi ubat percuma malah siap kongsikan tips senaman lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Latif mewakili penduduk di situ berbesar hati menjemput mobile clinic ini untuk datang sekali lagi ke kawasan itu pada masa akan datang.
Untuk rekod, seramai 70 orang yang telah menggunakan perkhidmatan mobile clinic ini sepanjang dua hari program tersebut berlangsung dengan dua orang doktor yang bertugas serta dibantu oleh 9 orang sukarelawan.