Semasa

Tahanan wanita Palestin sarat hamil 9 bulan dibebaskan

RAMALLAH : Mahkamah Israel memutuskan untuk membebaskan Anhar Al-Deek yang sedang hamil sembilan bulan dengan wang jaminan 40,000 shekel (RM52,000).

Anhar turut dikenakan syarat untuk ditahan di rumah keluarganya setelah dibebaskan dari penjara.

Menurut Quds news, Anhar sebelum ini pernah menulis surat dari penjara untuk memohon bantuan kumpulan hak asasi manusia bagi mendesak pembebasannya seterusnya membolehkan dia bersalin di luar pusat tahanan.

“Apa yang perlu saya buat sekiranya saya terpaksa melahirkan anak dengan keadaan berjauhan dari keluarga?

“Saya digari dan anda tahu bagaimana sukarnya untuk bersalin secara pembedahan di luar penjara. Bagaimana saya perlu harungi keadaan ini ketika saya berada di dalam penjara keseorangan?” tulis Anhar dalam surat tersebut.

Terdahulu, Anhar telah ditangkap kerana dituduh cuba melakukan serangan tikaman di sebuah kawasan penempatan haram Israel dekat pekan yang menjadi tempat tinggal mereka.

Al-Deek akan menjadi tahanan Palestin pertama yang melahirkan anak di penjara Israel. Kesnya menarik perhatian tempatan dan antarabangsa, dengan kempen di media sosial menuntut pembebasannya.

Anhar bukanlah satu-satunya ibu yang ditahan di penjara Israel. 40 wanita Palestin yang lain turut berada dalam tahanan Israel dan 11 daripada mereka mempunyai anak dan terpisah daripada keluarga.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button