Covid19Semasa

PKPB di Johor, Melaka, Kedah, Terengganu tamat esok

Trend penurunan kes positif, keadaan terkawal

KUALA LUMPUR : Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan esok.

Penamatan ini adalah lebih awal berbanding yang diumumkan pada ketika lalu iaitu pada 6 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun beberapa daerah seperti Kulim di Kedah, Kota Tinggi dan Mersing di Johor masih dikenakan PKPB.

“PKPB ditamatkan selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan yang menunjukkan trend penurunan kes positif dan keadaan terkawal”

Di Kedah katanya sehingga Rabu lalu, hanya terdapat 85 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri berkenaan dan keadaan terkawal kecuali bagi daerah Kulim yang masih merekodkan 23 kes aktif.

“Bagi Johor, sejak 5 November lalu, sebanyak 82 kes positif COVID-19 direkodkan namun sehingga Isnin lalu, kes aktif merekodkan penurunan di seluruh negeri dan keadaan adalah terkawal kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing dengan masing-masing masih merekodkan 36 dan lapan kes aktif”

“Bagi Melaka, beliau berkata secara kumulatif sejak 5 November lalu, sebanyak 61 kes positif COVID-19 direkodkan, namun sehingga Rabu lalu, hanya terdapat 48 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri.”

“Di Terengganu, secara kumulatif sejak 4 November lalu sebanyak 230 kes positif COVID-19 direkodkan bagaimanapun, sehingga Selasa lalu, hanya terdapat 19 kes aktif yang direkodkan di seluruh negeri dan tiada kes sporadik dilaporkan dalam 14 hari kebelakangan ini”

Beliau berkata, biarpun PKPB di empat negeri ini ditamatkan, namun ia masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat Rabu lalu, situasi pandemik semasa di seluruh negara masih menunjukkan trend peningkatan kes positif COVID-19 dengan jumlah kes aktif dan kadar kebolehjangkitan masih lagi tinggi.

PKPB sebelum ini diumumkan di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button