Dihukum penjara seumur hidup, Canberra tiada halangan terima pesalah tembak mati 51 jemaah
Sedia bincang dengan Auckland

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, berkata pihaknya bersedia menerima cadangan New Zealand untuk menghantar pulang pesalah tragedi pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, ke negara asalnya bagi menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Morrison berkata demikian dalam reaksi kes pelampau berkulit putih, Brenton Tarrant yang diperintahkan menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, semalam selepas melancarkan serangan ke atas dua masjid tahun lalu, yang meragut nyawa 51 jemaah beragama Islam.
Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, Timbalan Perdana Menteri, New Zealand, Winston Peters berkata, Tarrant, 29, sepatutnya dipindahkan ke sistem penjara Australia.
“Komuniti Islam dan seluruh penduduk New Zealand sudah cukup menderita bagi memastikan dia selamat di sistem penjara kami,” kata Peters.
Menurut Morrison, beliau tidak menerima sebarang permohonan untuk memindahkan Tarrant namun berkata, bersedia membincangkan perkara itu bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri, New Zealand, Jacinda Ardern.
“Sama ada ditahan di Australia atau New Zealand, kami terbuka untuk perbincangan.
“Sudah tentu keputusan ini membabitkan banyak implikasi. Saya dan Perdana Menteri New Zealand akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya.
Katanya, perasaan mangsa yang terselamat dan ahli keluarga adalah perkara penting serta perlu diambil kira dalam sebarang keputusan berkaitan Tarrant.
“Kita memandang serius pandangan keluarga semua mangsa dan mahu melakukan yang terbaik buat mereka,” katanya.
Tarrant, bekas jurulatih gimnasium berpindah ke New Zealand pada 2017 dan serta-merta merancang serangan ke atas komuniti Islam negara itu.
Dokumen kerajaan menunjukkan bahawa New Zealand perlu membelanjakan sekitar NZ$4,900 (RM13,622) sehari untuk penahanan Tarrant, berbanding hanya NZ$302 (RM840) untuk banduan biasa.
– AFP