KesihatanSemasa

Anak obesiti, comel atau penyakit?

Masyarakat kita gemar melihat aksi kanak-kanak cilik yang comel dan mencuit hati.

Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang montel, gebu dan berisi.

Namun, adakah kegemukan kanak-kanak itu normal dari sudut pandang kesihatan?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan berat badan berlebihan atau obesiti berlaku apabila kadar Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI) tinggi dari umur atau jantina yang sepatutnya.

Hasil kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), mendapati 50.1 peratus rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan dengan 19.7 peratus daripada mereka menghadapi masalah obesiti pada 2019.

Manakala, sejumlah 30 peratus kanak-kanak dalam lingkungan usia lima hingga 13 tahun mencatitkan masalah obesiti.

Walau bagaimanapun, punca berat badan berlebihan terhadap kanak-kanak mungkin sedikit berbeza ekoran daripada faktor genetik.

Namun, faktor utama masih berkait rapat dengan cara pemakanan dan aktiviti fizikal.

Walau apa pun penyebabnya, masalah obesiti berlaku apabila pengambilan kalori melebihi penggunaannya.

Peningkatan berat badan = pengambilan kalori > penggunaan kalori

Hal ini menjurus kepada peranan ibu bapa dalam menentukan hidangan makanan buat si kecil.

Jika ibu bapa memandang enteng akan menjaga berat badan anak-anak, bersedialah berdepan dengan beberapa risiko merbahaya, antaranya :

  • Kanak-kanak akan berdepan dengan masalah penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, kencing manis serta penyakit hati berlemak.
  • Berpotensi untuk berdepan masalah gangguan tidur atau ‘obstructive sleep apnea’.
  • Salur darah akan menjadi lebih sempit akibat pengumpulan lemak dan menyebabkan gangguan pernafasan.
  • Masalah haid terlalu awal bagi kanak-kanak perempuan yang obes. Turut berpotensi tinggi untuk mempunyai risiko fibroid pada rahim.

Bukan itu sahaja, risiko obesiti ini amat digeruni jika dibiar berlanjutan sehingga meningkat dewasa.

Sesetengah individu yang berdepan obesiti lebih cenderung untuk menghidap kemurungan akibat daripada kurang keyakinan diri yang melampau.

Pada masa sama, Islam menerapkan amalan gaya hidup sihat iaitu dengan mengamalkan cara hidup Rasulullah S.A.W.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud :

Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Justeru itu, bersederhanalah dalam sesuatu termasuk pengambilan makanan. Badan yang sihat secara tidak langsung membantu seseorang itu untuk lebih mudah beribadah dan menjalankan aktiviti seharian dengan lebih efektif.

Sebagai ibu bapa yang prihatin, mengekang dan mengawal pengambilan makanan kanak-kanak amat dituntut dan pamerkan contoh terbaik buat anak-anak.

Jika anak anda berdepan masalah obesiti, anda dinasihatka untuk rujuk ke pakar sebagai langkah pencegahan awal.

 

Related Articles

Back to top button