Semasa

Panglima TUDM ziarah mangsa, waris juruterbang pesawat Hawk terhempas

SHAH ALAM : Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad meluangkan masa melawat juruterbang TUDM, Mejar Mohd Fareez Omar di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, Ackbal tiba di hospital jam 10 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu Mohd Fareez dan isteri, Siti Hajar serta ahli keluarga mereka yang turut berada di hospital.

“Panglima Tentera Udara telah menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan daripada Tabung Musa’adah dan Tabung Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (KSSKA) di samping memberikan kata-kata semangat serta mendoakan kesihatan Mohd Fareez.

“Mohd Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan pada 17 November lalu di Hospital Seberang Jaya.

“Beliau dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di hospital bagi pemantauan perubatan dan rawatan susulan oleh pegawai perubatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ackbal juga mengambil kesempatan untuk menziarahi dan menyerahkan sumbangan kepada waris Allahyarham Kapten Mohamad Affendi di Muadzam Shah, Pahang.

“Panglima Tentera Udara telah menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham dari Tabung Musa’adah, Tabung Khairat Kematian Koperasi Tentera dan Tabung KSSKA TUDM kepada isteri dan ibu Allahyarham.

“Isteri Panglima Tentera Udara, Norainy Shahar Alam turut menyampaikan sumbangan daripada badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Udara kepada kedua-dua isteri juruterbang pesawat Hawk yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 16 November lalu, Kapten Mohamad Affendi, 31, meninggal dunia dalam insiden pesawat Hawk milik TUDM terhempas  ketika sedang menjalankan latihan penerbangan (Night Flying).

Manakala seorang lagi mangsa yang terlibat adalah Mejar Mohd Fareez Omar, 33, mengalami kecederaan dan dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button