PalestinSemasa

Aidiladha Ini, Kami Kebumikan Orang Mati”: Gaza Sambut Hari Raya Ketiga Dengan Bom israel

Gaza menyambut Aidiladha buat kali ketiga dalam keadaan perang, diiringi kesedihan, kelaparan, dan pemakaman – bukan kegembiraan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sejak Israel melanggar gencatan senjata pada Mac lalu, serangan tanpa henti telah mengorbankan lebih 900 rakyat Palestin, menjadikan hari raya ini sebagai tempoh berkabung.

Di Kota Gaza, solat sunat Aidiladha dilakukan di tengah runtuhan, sementara ziarah keluarga digantikan dengan kunjungan ke kubur.

Ahmad Hamdan, 11 tahun, kehilangan ayahnya dalam serangan dron Israel. “Dia yang selalu belikan saya baju raya… Sekarang, tiada siapa buat saya rasa selamat,” luahnya dengan suara hampa.

Ranim Mousa, 34 tahun, dari Jabaliya, kehilangan rumah dan adik lelakinya. “Aidiladha dulu penuh harapan, sekarang hanya ingatkan kami apa yang sudah hilang,” katanya di atas puing rumahnya.

Makanan semakin sukar didapat dengan roti hampir tiada dan sayur-sayuran terlalu mahal kerana bekalan bahan bakar terputus. Air tercemar memaksa penduduk minum air tidak bersih akibat kerosakan infrastruktur. Bantuan antarabangsa juga tersekat dengan PBB melaporkan sekatan Israel menyukarkan penghantaran bekalan asas.

Sheikh Masoud Al-Rais, Imam Masjid Al-Qastal, berkata: “Aidiladha sepatutnya membawa kegembiraan, tapi di Gaza, ia hanya lanjutan penderitaan.”

Mohammed Al-Kafarna, 43 tahun, kini hanya mampu makan kacang fava tin bersama keluarganya. Dua saudaranya ditahan Israel, nasib mereka tidak diketahui. “Saya tak ziarah keluarga… Saya ziarah kubur sahabat,” katanya dengan linangan air mata.

Walaupun begitu, rakyat Gaza tetap berpegang pada harapan. “Suatu hari nanti, anak-anak kami akan sambut Aidiladha dalam damai,” impi Esra Tartur, 26 tahun, yang kehilangan rumahnya.

SUMBER: TRT World

Related Articles

Back to top button