PETALING JAYA – 18 Feb : Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19, memberi implikasi kepada semua golongan termasuk golongan artis.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Jawatankuasa Hal Ehwal warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, mengambil inisiatif meringankan bebanan mereka.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa berkenaan, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery menyerahkan sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di pejabat FINAS pada Khamis (18 Februari).
Seramai 10 orang artis tanah air menerima sumbangan itu yang berupa keperluan asas seperti beras, gula dan tepung.
Antara artis yang menerima sumbangan itu ialah, artis veteran, Wan Maimunah.
Ibu Wan Maimunah ketika ditemui merakamkan rasa syukur tidak terhingga.
Beliau yang dahulunya terkenal dengan lakonan yang menyayat hati setiap penonton kelihatan agak uzur hadir pada majlis penyerahan itu.
Sambil menyapu air mata kesyukuran yang berlinang, beliau mengucapkan terima kasih atas ingatan Ahli Jawatankuasa berkenaan terhadap artis yang senasib dengannya.
“Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang. Setiap yang baik, insyaAllah yang baik juga balasannya. Walaupun orang kata sesuap nasi itu adalah sumbangan yang cukup baik walaupun dengan secebis doa, ini apatah lagi dengan beras, gula, tepung. Alhamdulillah dengan keadaan PKP macam ini terutama kepada kami yang veteran. Payah nak bergerak, payah nak ke sana sini dan susah untuk nak pergi kedai…” – Wan Maimunah
Tidak terkecuali Aida Khalida serta beberapa artis veteran lain yang merakam rasa terima kasih.
Selain mereka, artis lain yang menerima sumbangan itu ialah S. Mariam, Hamidah Wahab, K. Maria, Junainah M. Amini, Juliz Sudiro, Hamidah Urif, Abass bin Abu Bakar dan Helmi Gimmick selaku wakil PKAVM.
Mamu atau nama sebenarnya Abass Abu Bakar juga menyatakan terima kasih kepada pihak FINAS dan MAPIM kerana hasil daripada program ini.
Beliau juga berharap para veteran yang masih lagi dalam keadaan sihat dan tidak sihat dapat dibantu.
Turut hadir Pengerusi FINAS, Tuan Zakaria Abdul Hamid, Dato’ Lokman Hakim Pfordten selaku Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings.
Jawatankuasa di bawah FINAS itu ditubuhkan bagi menjaga kebajikan artis seni dan kreatif tanah air yang terjejas pendapatan berikutan pandemik COVID-19 dan mengalami kesukaran hidup.
- Aqilah binti Othman