Syukur, adik Ainul Mardhiah dah sedar
Doktor sebelum ini mengesyaki Ainul ada virus dan kuman otak hingga mengalami sawan dan terpaksa ditidurkan
KUALA LUMPUR : Syukur Alhamdulillah kini adik Ainul Mardhiah, 4, dilaporkan sudah sedar dan tidak lagi bergantung pada alat bantuan pernafasan.
Perkara itu dikongsikan oleh bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 27, menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya selepas menerima perkhabaran tersebut daripada Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) yang menghubunginya.
“PICU baru telefon memaklumkan bahawa hari ini kami sudah boleh jaga Ainul semula kerana Ainul dah guna oksigen biasa, ventilator sudah off (tutup). Ubat tidur dan tahan sakit dia pun sudah off. Ainul sudah sedar,” menurut hantaran tersebut.
Ahmad Safiuddin memberitahu hari ini juga merupakan hari lahir buat adik Ainul Mardhiah yang lahir pada 2018 lalu jam 3.15 petang.
“Ainul Mardhiah, lahir lahir terus berjuang sehingga detik ini,” luah bapanya.
Semalam, Ahmad Safiuddin berkata doktor mengesyaki ada virus dan kuman di otak anak sulungnya hingga mengalami sawan yang luar biasa.
Terdahulu, kisah penderitaan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdom (UK).
Ia bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya ketika kanak-kanak itu berusia sembilan bulan pada Jun 2019.
Pada 1 Ogos lalu, Ahmad Safiuddin telah mengesahkan anaknya itu terkena jangkitan kuman atau virus yang kuat serta berlaku dengan amat pantas sehingga berada di tahap kritikal dan terpaksa ditidurkan serta memerlukan sokongan ventilator.