Solat luar masjid – sah dalam jarak 300 hasta
Pastikan ikut syarak, dari tempat makmum paling belakang dalam masjid
PETALING JAYA – 17 Mac : Orang ramai diminta memastikan mereka berada dalam posisi sah solat Jumaat jika mahu menunaikan solat itu di luar kawasan masjid.
Menurut Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pertama mereka mesti solat tidak lebih 300 hasta dari tempat makmum paling belakang dalam masjid.
Walaupun solat dari seberang jalan masjid, tetapi jarak masih dalam jarak 300 hasta maka dibolehkan lagi. Kedua pagar masjid mesti tidak berkunci.
“Jika tidak nampak imam, tetapi nampak makmum terakhir boleh ikut itu dan tahu pergerakan solat mengikut imam,” – Mufti Kelantan / Datuk Mohamad Shukri Mohamad
Berdasarkan kiraan, satu hasta bersamaan 45 sentimeter maka 300 hasta mendekati jarak 135 meter.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 25 saat menunjukkan orang ramai mengikuti solat Jumaat dari luar kawasan masjid termasuk di seberang jalan dan hentian bas tular di media sosial.
Kata beliau, pemerintah telah mengeluarkan arahan kapasiti jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid pada waktu pandemik Covid-19.
Jelasnya, walaupun niat mahu menunaikan solat Jumaat baik, tetapi umat Islam perlu patuh kepada maslahat bagi memutuskan rantaian wabak itu.
“Kita dalam situasi darurat maka amalan tidak akan sama dalam waktu aman. Jika masjid sudah lebih kapasiti, maka tunaikan solat Zuhur. Solat Jumaat wajib, tetapi apabila bertembung dengan isu kemudaratan, maka maslahat menjaga nyawa perlu diutamakan” – Mufti Kelantan / Datuk Mohamad Shukri Mohamad
– K! ONLINE
Disediakan oleh Pelatih Fakulti Komunikasi Massa – Hafeez Nor Hanif Anuar