Covid19Dunia

Suntikan dos keempat ditawarkan di 10 wilayah pelancongan di Thailand

BANGKOK : Sebagai persediaan untuk pembukaan semula sempadan pada bulan depan,  kerajaan Thailand menawarkan dos keempat vaksin Covid-19 kepada penduduk di wilayah-wilayah yang bergantung kepada sektor pelancongan.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, penduduk di sepuluh buah wilayah yang telah menerima dos ketiga sekurang-kurangnya tiga bulan lalu ditawarkan vaksin jenis AstraZeneca dan Pfizer.

Data rasmi ketika ini menunjukkan lebih daripada 800,000 suntikan telah diberikan yang kebanyakannya, diterima oleh pekerja pusat jagaan kesihatan dan mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

Empat wilayah yang bergantung kepada pelancongan adalah Phuket, Surat Thani, Krabi dan Phangnga.

Selain itu, enam wilayah dengan tumpuan pelancongan atau kadar jangkitan tinggi adalah Bangkok, Chonburi, Samut Prakan, Nonthaburi, Kanchanaburi dan Pathum Thani.

Sasaran kementerian adalah untuk menyuntik 2.5 juta penduduk di 10 wilayah tersebut sama ada warganegara Thailand atau rakyat asing.

Selain Thailand, Chile dan Israel merupakan antara yang tersenarai dalam memberikan dos keempat kepada penduduknya.

– AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button