SemasaSyariah

Sumpah Mubahalah, pandangan dalam prinsip perundangan Islam

Sumpah laknat di dalam masjid hanya dalam bab li'an

Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh ‘qadhi‘ (hakim dalam perkara yg berkaitan dengan agama Islam seperti mengurus soal pernikahan & per­ceraian orang Islam, membicarakan orang yg dituduh melanggar hukum Islam dll)(rujukan Kamus Dewan Edisi Keempat) atau hakim.

Ianya dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengari. Ia disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah.

Imam Ibn Al-Munzir dalam ulasan beliau terhadap kaedah fiqh menyebutkan :

أَجْمَعَ أَهْلُ الْعِلْمِ عَلَى أَنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: Para ahli ilmu telah berijma’ bahawa bukti itu ke atas mereka yang mendakwa, dan sumpah itu ke atas mereka yang didakwa. Rujuk Al-Ijma’, Ibn Al-Munzir (Halaman 65).

Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di Mahkamah. Bahkan proses keadilan di Mahkamah tidak eksklusif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim.

Sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali dalam bab li’an. Li’an bermaksud jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li’an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.

Manakala mubahalah dalam surah Ali Imran ayat ke-61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya ianya dikategorikan dalam bab sumpah ketika perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah yang palsu.

Perkara ini pernah direkodkan berlaku antara Rasulullah s.a.w. dengan golongan bukan Islam dan kes perbezaan pembahagian harta pusaka yang berlaku pada zaman sahabat.

Pada masa kini, telah wujud Mahkamah untuk penyelesaian isu perundangan. Oleh itu, penggunaan masjid dilihat tidak sesuai untuk dijadikan ‘venue‘ untuk melakukan sumpah.

Antara fungsi dan peranan masjid di dalam Islam adalah:

i) Tempat pembinaan kerohanian.
ii) Tempat pengukuhan sosial umat Islam.
iii) Tempat pembelajaran & pendidikan.
iv) Tempat meleraikan permasalahan kehidupan seperti isu perundangan dan lain-lain.
v) Tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.
vi) Tempat penyampaian arahan pemerintah.

YB Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah menyarankan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) wajar menggubal peraturan melarang apa-apa majlis melibatkan sumpah atau sumpah laknat berkaitan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan bagi mengelakkan masjid dimanipulasi mana-mana pihak.

*** Artikel merujuk Kenyataan Media Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 23 Disember 2019

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button