Semasa

Sultan Selangor berkenan lantik Anhar sebagai Mufti Selangor baharu

Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah

SHAH ALAM : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan kepada Datuk Dr. Haji Anhar Bin Haji Ophir sebagai Mufti Selangor yang baharu.

Perkara itu disahkan melalui satu hantaran melalui laman Facebook rasmi Selangor Royal Office memaklumkan pelantikan Anhar berkuat kuasa 21 Mei lalu selepas memegang jawatan Timbalan Mufti Selangor sejak tahun 2016 bagi menggantikan mufti sebelumnya, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid.

Anak kelahiran Kapar, Klang ini memiliki kelulusan tertinggi Ijazah Doktor Falsafah (Feqh Wa Usuluh), Mumtaz dari The World Islamic Sciences And Education University (WISE), Jordan.

Beliau juga memperoleh Ijazah Sarjana (Falsafah Islamiah), Mumtaz dari Universiti Kaherah, Mesir. Sejak tahun 2007, beliau juga bertindak selaku Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, Jawatan Timbalan Mufti Selangor pula kini diambil alih oleh Prof. Madya Dr. Miszairi Bin Sitiris. Beliau yang lahir di Banting berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah IRKH (Fiqh dan Usul Al-Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa (IIUM).

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IIUM) dan Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IIUM).

Antara artikel beliau yang pernah diterbitkan bertajuk Tuntutan Harta Sepencarian Dalam Kes Kematian di bawah Jurnal Undang-undang Malaysia.

Dalam pada itu, Baginda bertitah menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor supaya mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 kepada para Imam, Bilal dan Siak di masjid-masjid dan surau-surau serta Jurunikah di seluruh Negeri Selangor.

Ia sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah khususnya bagi menunaikan Solat Jumaat, bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Baginda turut berpandangan adalah penting untuk Imam, Bilal dan Siak serta Jurunikah ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button