Semasa

Sultan Kelantan perkenan Istana Balai Besar dibuka jadi PPV

KOTA BHARU : Sultan Kelantan Sultan Muhammad V memperkenan supaya pintu Istana Balai Besar, di sini, dibuka kepada rakyat jelata bagi tujuan kemudahan pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata Istana Balai Besar merupakan satu-satunya istana di Kelantan yang dibuka bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan di Istana Balai Besar anjuran Pejabat Sultan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bagi Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan lima hari bermula semalam.

“Bagi program vaksinasi ini dalam Fasa Pertama PPN ia telah dilaksanakan pada 9 Jun lalu yang membabitkan seramai 350 penerima vaksin yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Istana negeri Kelantan.

“Sementara itu, bagi program kali ini, dijangka seramai 2,000 penerima dijangka akan menerima vaksin iaitu 1,000 penerima adalah rakyat jelata dan selebihnya adalah kakitangan dan kerabat-kerabat Istana Negeri Kelantan,” katanya.

Mengulas lanjut Tengku Azmi berkata Sultan Muhammad V juga memuji rakyat Kelantan yang telah mendafar untuk menerima vaksin dan baginda turut menitahkan agar semua rakyat Kelantan sama ada di dalam atau di luar negeri supaya mengambil serius berkenaan peningkatan jangkitan Covid-19 di Kelantan serta negara ini.

– BERNAMA

Related Articles

Back to top button