DuniaSemasa

Sri Lanka umum henti penjualan bahan api selama dua minggu

Penutupan sektor kerajaan terpaksa dilanjutkan sehingga 10 Julai depan

COLOMBO : Sri Lanka menghentikan semua penjualan bahan api selama dua minggu berikutan krisis kewangan kritikal yang dihadapi oleh negara itu, kecuali untuk perkhidmatan penting.

Menurut laporan The Guardian, kerajaan Colombo juga merayu kepada sektor swasta agar memberi kebenaran untuk bekerja dari rumah kepada pekerja mereka selepas negara ini kehabisan bekalan bahan api.

“Bermula tengah malam Isnin, bagi melaksanakan langkah penjimatan, bahan api tidak akan dijual kecuali bagi perkhidmatan penting seperti sektor kesihatan,” menurut jurucakap kerajaan, Bandula Gunawardana.

Pada masa sama, beliau memohon maaf kepada masyarakat berhubung masalah yang berlaku dan meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku ketika ini sehingga rakyat terpaksa menanggung kesusahan.

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan pada 1948, menyebabkan negara ini tidak dapat membeli keperluan penting seperti bekalan bahan api, makanan dan ubatan sejak hujung tahun lalu.

Pada minggu lalu, semua sekolah kerajaan ditutup dan institusi kerajaan perlu beroperasi dalam skala kecil sebagai langkah menjimatkan penggunaan bahan api.

Penutupan sektor kerajaan sepatutnya berakhir minggu ini, namun terpaksa dilanjutkan sehingga 10 Julai depan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button