Semasa

Sultan Selangor dukacita pegawai kerajaan negeri terlibat kes rasuah

Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj zahir rasa dukacita apabila berikutan isu Pegawai Kerajaan di Negeri Selangor yang terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai Kerajaan di Negeri Selangor.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Istana Selangor hari ini, Baginda bertitah bahawa sesiapa pegawai Kerajaan di Negeri Selangor ini yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Mana-mana Pegawai Kerajaan dan Ahli-Ahli Politik yang telah dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor dan didapati telah melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik balik,” katanya.

Sementara itu, Sultan Selangor menzahirkan penghargaan Baginda kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Negeri Selangor ini dapat dibanteras.

Baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Baginda mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini adalah satu gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button