Dunia

Sri Lanka mohon bantuan IMF akibat kegagalan bayar hutang

NEW DELHI : Ekoran krisis ekonomi yang kian meruncing, Sri Lanka dijangka bakal berdepan masalah untuk melangsaikan semula hutang, satu isu yang dianggap tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut kerajaan, pihaknya telah membuat satu pelan pemulihan ekonomi dan menghubungi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Sri Lanka mempunyai rekod permbayaran hutang luar negeri yang baik sejak merdeka pada 1948.

“Namun, kedudukan fiskal Sri Lanka tergugat berikutan pandemik Covid-19 serta konflik di Ukraine telah menyebabkan mustahil bagi mereka untuk menunaikan obligasi hutang awam luar,” kata Kementerian Kewangan negara itu.

Pihak yang terjejas oleh pemberhentian pembayaran pinjaman termasuk pemegang bon yang diterbitkan dalam pasaran asing, semua pemiutang dua hala dan institusi penyedia pinjaman mata wang asing.

Menurut kementerian, bagi mengatasi masalah berkenaan, Sri Lanka akan mempercepatkan rundingan dengan IMF dan mendapatkan bantuan daripada rakan kongsi untuk meringankan penderitaan rakyat negara itu.

Krisis ekonomi telah menyebabkan rakyat mengadakan bantahan besar-besaran berikutan peningkatan inflasi, bekalan tenaga terjejas dan kekurangan barangan keperluan.

– BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button