DuniaSemasa

Sri Lanka batal peperiksaan sekolah akibat kekurangan kertas

COLOMBO : Isu kekurangan kertas akibat krisis ekonomi yang dialami telah memaksa Kerajaan Sri Lanka untuk membatalkan peperiksaan sekolah melibatkan jutaan pelajar di negara itu.

Kekurangan pertukaran mata wang asing yang bertambah buruk mendorong krisis ekonomi di negara itu.

Colombo ketika ini bergelut untuk mencari dolar bagi membiayai import penting termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Menurut pegawai di jabatan pendidikan, ekoran kekurangan kertas, peperiksaan yang sepatutnya berlangsung selama seminggu bermula Isnin depan akan ditangguhkan.

“Pengetua sekolah tidak boleh mengadakan peperiksaan kerana pencetak gagal memperoleh pertukaran asing untuk mengimport kertas dan dakwat yang diperlukan,” jelas jabatan pendidikan wilayah Barat.

Berdasarkan sumber rasmi, kira-kira 4.5 juta pelajar yang menduduki peperiksaan akan terjejas menerusi pelaksanaan langkah tersebut.

Sri Lanka ketika ini berdepan krisis kewangan terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Negara Asia Selatan itu mengumumkan pada minggu ini akan cuba mendapatkan bailout Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelesaikan krisis hutang luar negara yang semakin teruk dan menambah rizab luar.

Semalam, IMF mengesahkan pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan Presiden Gotabaya Rajapaksa untuk membincangkan bailout.

Dilaporkan, pandemik Covid-19 adalah punca utama sektor pelancongan Sri Lanka yang merupakan penyumbang utama mata wang asing runtuh.

Susulan itu, kerajaan mengenakan larangan import secara meluas pada Mac 2020 untuk menyelamatkan mata wang asing.

– AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button