SKMM & JAKIM bekerjasama kekang video berunsur ajaran sesat
SHAH ALAM: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menangani penyebaran video berunsur ajaran sesat di negara ini.
SKMM dalam satu kenyataannya memaklumkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu akan diatasi sebaiknya termasuk penyebaran video dari negara jiran yang semakin tular di media sosial.
“Sebarang aduan berhubung penyebaran kandungan berunsur ajaran sesat yang diterima oleh SKMM daripada mana-mana pihak akan dirujuk kepada JAKIM untuk penilaian lanjut“.
“Malah pada masa yang sama, pihak SKMM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan teknikal berdasarkan permohonan daripada pihak JAKIM,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Pemerintah tidak punya hubungan dengan Alzaytun#PolitikIdentitas#PemiluIndonesia pic.twitter.com/rCw2CNEqZi
— Wetty bregita (@wettybregita) May 30, 2023
Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah memantau serta menyekat penyebaran sebarang video berunsur ajaran sesat termasuk dari negara jiran yang tular di media sosial.
Menteri KKD, Fahmi Fadzil menegaskan, SKMM akan bekerjasama dengan Jakim serta majlis-majlis agama negeri dalam usaha mengenal pasti dan mengekang penularan bahan seumpama itu.
Menurut beliau, kerajaan akan memastikan bukan sahaja penularan disekat, tetapi mereka yang terbabit dalam penularan itu juga boleh diambil tindakan.
Media melaporkan pihak JAKIM diminta menyiasat mengenai ajaran didakwa tidak selari dengan syariat Islam di Indonesia dan turut melibatkan rakyat negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merujuk kepada isu yang sedang diperkatakan berlaku di Pondok Pesentran Al Zaytun, Indonesia.
BACA JUGA
Hikmah melakukan ibadah korban