Covid19Semasa

Sikap prihatin PDRM dipuji

Kenderaan iringi jenazah ahli keluarga diperlahankan undang sebak ahli keluarga, masyarakat

BENTONG : Tindakan polis memperlahankan kenderaan ketika mengiringi jenazah warga emas yang meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini, bukan sahaja mengundang sebak dalam kalangan ahli keluarga mangsa tetapi juga masyarakat serta pengguna media sosial.

Terdahulu, sebuah klip video berdurasi 59 saat yang dimuat naik di media sosial menunjukkan Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengiringi van jenazah di depan sebuah rumah  sambil disaksikan orang ramai dipercayai ahli keluarga mangsa.

Menerusi video itu, turut kedengaran suara Ketua MPV Asisten Superintendan Mohd Mustafa bersama petugas barisan hadapan membuat permohonan maaf dan meminta supaya ahli keluarga terus tabah dengan dugaan yang dihadapi.

IPD Bentong dalam hantaran Facbook, berkata pihaknya tidak boleh menghentikan kenderaan itu kerana perlu akur dengan prosedur operasi standard (SOP).

Jenazah itu terus ke Tanah Perkuburan Kampung Janda Baik, di sini, untuk dikebumikan.

Tindakan mulia itu sekali gus mendapat pujian ramai terhadap sifat keprihatinan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada masyarakat yang sedang berdepan dengan ancaman Covid-19.

Pada 3 Julai lalu, pengguna Facebook Norasma Tahir yang juga anak kepada warga emas tersebut memuatnaik status memaklumkan pemergian arwah bonda di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) pada usia 86 tahun.

Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) /AJ

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button