Siasatan kes buli pelajar MRSM diserahkan kepada pendakwa raya
KUALA KANGSAR : Polis menyelesaikan laporan siasatan berhubung kes buli membabitkan sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaakob berkata, laporan siasatan kes itu selesai pada 17 Disember dan diserahkan kepada pihak pendakwa raya Perak untuk tindakan lanjut dua hari lepas.
“Perkara membabitkan 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar telah disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kini pihak pendakwa raya sedang menelitinya,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bulanan bersama kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Susulan tularnya video berdurasi 10 saat di media sosial menunjukkan seorang pelajar dikepung rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di perut, beberapa media melaporkan polis telah mengambil keterangan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes buli.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM