Semasa

Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa dilantik sebagai penyampai khutbah Arafah

MEKAH : Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abduk Karim Al-Issa dilantik untuk memimpin doa dan menyampaikan khutbah di Masjid Namirah pada Hari Arafah, Jumaat 8 Julai ini.

Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi menerusi portalnya memaklumkan pelantikan itu dipersetujui pada Selasa (5 Julai) oleh Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz.

Menurutnya, kesedaran global mengenai imej Islam sebenar, selain mempromosikan nilai-nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian antara agama telah melayakkan Sheikh Dr Al-Issa diiktiraf secara meluas sebagai ulama kontemporari.

Dr Al-Issa turut sering dijemput memberi syarahan di institusi akademik dan badan intelektual antarabangsa di beberapa negara seluruh dunia atas kepakarannya dalam bidang Syariah Islam serta perundangan dan kehakiman.

Terkini di Malaysia, beliau turut hadir dalam Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang diadakan di Bandar Sunway, Petaling Jaya minggu lalu, selain mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Khutbah Arafah yang akan dibacakan dalam bahasa Arab akan bersiaran secara langsung dari Arab Saudi pada Jumaat ini dengan terjemahan 14 bahasa lain termasuk Bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button