TANJONG KARANG: Sebuah kilang pemprosesan ayam di Bagan Tengkorak, di sini, hari ini, mengalami kebocoran gas ammonia pada salah satu saluran paip gas mengakibatkan lebih 450 pekerja diarah mengosongkan premis.
Seramai 463 pekerja kilang terdiri daripada 290 lelaki dan 173 wanita dilaporkan terselamat daripada terhidu gas berkenaan ketika kebocoran berlaku kira-kira 1.10 petang itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.20 petang selepas difahamkan, kejadian disedari pekerja yang melihat kebocoran pada salah satu saluran paip di kilang tersebut.
Beliau berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran pada saluran paip gas ammonia yang menghasilkan bau amat kuat.
“Bomba dengan pihak pengurusan kilang kemudian melakukan pemantauan menyeluruh dan menutup semua injap saluran gas tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Norazam, tindakan pengosongan segera dilakukan dan semua pekerja diarah keluar ke kawasan selamat.
“Operasi pemantauan lanjut masih giat dijalankan di seluruh kawasan kilang tersebut dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semuanya dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam turut dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika ini, keadaan masih terkawal dan akan dipantau secara berterusan,” katanya. – AGENSI
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today