Sentuh Hajar Aswad tanpa ke Mekah
Arab Saudi wujud inisiatif baharu, sentuh Hajar Aswad secara maya
JEDDAH : Umat islam di seluruh pelosok dunia yang rindu berkunjung ke Tanah Suci tetapi tidak mampu ke sana akibat pelbagai faktor termasuk Covid, kini mempunyai pilihan yang sedikit berbeza.
Arab Saudi telah melancarkan satu kaedah yang membolehkan pengunjung menyentuh Hajar Aswad secara maya.
Menurut ciapan di Twitter Haramain, kaedah yang diusahakan iaitu “Virtual Black Stone” (Hajar Aswad maya) membolehkan orang ramai menyentuh batu hitam berkenaan secara maya menerusi kemudahan teknologi seperti realiti maya (VR).
Presiden Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdul Rahman bin Abdulaziz Al-Sudais melancarkan kaedah baharu itu di pejabatnya.
Berikut merupakan antara gambar di hantaran Twitter Haramain Sharifain.
“Inisiatif (Virtual Hajar Aswad) itu dilancarkan oleh Agensi Hal Ehwal Pameran dan Muzium, yang juga diwakilkan oleh Pentadbiran Am Pameran Digital, dengan kerjasama
Institusi Penjaga Dua Masjid Suci bagi Kajian Haji dan Umrah di Universiti Umm Al-Qura,” ujarnya.
Al-Sudais berharap kaedah baharu ini dapat memanfaatkan kecanggihann teknologi realiti maya (VR) dan pengalaman digital supaya dapat mewujudkan simulasi keadaan sebenar.
Selain itu, beliau juga menekankan bahawa pentingnya untuk mewujudkan suasana alam maya bagi merangsang sebanyak mungkin deria seperti daya penglihatan, pendengaran, sentuhan dan suasana di sekelilingnya. – AGENSI
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today