Melaka, P.Pinang pula longgarkan peraturan untuk imarahkan rumah Allah
Solat Jumaat, fardu dibenarkan dan imarah masjid bersyarat

MELAKA : Selepas Perak hari ini mengumumkan boleh bersolat Jumaat, solat fardu di masjid dan surau serta surau di institusi yang menempatkan solat Jumaat, Kerajaan Melaka pula memberi keizinan perkara yang sama.
Melaka membenarkan maksimum 500 orang untuk menghadiri solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat bermula esok, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata kebenaran menunaikan solat sehingga kapasiti maksimum 500 jemaah itu adalah antara perkara yang ditambah baik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Melaka dilanjutkan sehingga 4 Feb depan.
“Jumlah kehadiran untuk aktiviti yang dibenarkan adalah maksimum 500 jemaah bagi masjid kerajaan, maksimum 250 jemaah bagi masjid kariah dan institusi dan maksimum 75 orang bagi surau dengan kesemuanya tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter.” – Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali

Datuk Seri Sulaiman berkata antara perkara lain yang dibenar dilakukan di masjid ialah kuliah Maghrib serta bacaan surah Yassin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat manakala penceramah dari luar Melaka masih belum dibenarkan berceramah serta kuliah dan program selain kuliah Maghrib hendaklah ditangguhkan.
Sementara itu, PULAU PINANG, turut membenarkan pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat di semua masjid serta surau di negeri itu, namun dengan jumlah jemaah dibenarkan sahaja, berkuat kuasa hari ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat khas semalam dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu urusan ibadah orang Islam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan dengan maksimum 15 jemaah manakala solat Jumaat membabitkan 12 hingga 45 jemaah terdiri daripada warganegara berusia 15 hingga 70 tahun, termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid serta siak.” – YDP MAINPP Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman
“Pelaksanaan bagi solat jenazah untuk bukan Covid-19 di masjid dan surau dihadkan kepada 20 orang sahaja, bagaimanapun ziarah kubur selepas pengebumian selesai masih tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Datuk Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, MAINPP bersetuju menyediakan ruang solat untuk musafir di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya.
Beliau berkata, laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada ‘sollu fi buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).
“Laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada ‘sollu fi buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).
“Aktiviti bacaan Yasin dan tahlil selepas solat fardu turut dibenarkan, namun terhad kepada 15 orang yang merangkumi pegawai masjid, siak dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.
“Setakat ini, semua aktiviti pengimarahan dan aktiviti sosial secara bersemuka tidak dibenarkan termasuk tazkirah dan kuliah dijalankan di masjid atau surau,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, urusan akad nikah dibenarkan berlangsung di Pejabat Agama Daerah masing-masing dengan terhad kepada 10 individu.