Sejarah lima ulama besar Islam yang dizalimi dan dipenjarakan
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Tidak kira sebaik manapun seseorang manusia itu, pasti ada masanya Allah uji mereka dengan sesuatu yang tidak dijangkakan. Namun sudah pasti mereka ini mampu untuk menerima ujian daripada yang maha esa.
Berikut adalah beberapa orang tokoh besar Islam yang pernah diuji dengan dizalimi dan dipenjarakan tanpa mereka melakukan sebarang kesalahan. Mereka dituduh memberi ancaman.
Pertama ialah Imam Abu Hanifah yang telah dipenjara dan disebat kerana menolak jawatan kadi dalam pemerintahan kerajaan Dinasti Abbasiyah. Ketika di zaman Dinasti Umayyah beliau turut pernah dipenjara oleh khalifah Marwan bin Muhammad yang menjadi penguasa kerana menolak tawaran menjadi Hakim.
Beliau telah meninggal dunia ketika berusia 68 tahun semasa di dalam penjara. Ada yang mengatakan bahawa Imam Abu Hanifah meninggal dunia akibat diracuni. Ada juga yang mengatakan bahawa beliaut telah dipukul dalam penjara sehingga meninggal dunia.
Kedua ialah Imam Malik pernah dipenjara oleh Gabernor Kota Madinah pada tahun 764M kerana mengeluarkan fatwa bahawa hukum talak yang dilaksanakan oleh pemerintah tidak sah.
Pada ketika itu kerajaan Abbasiyah membuat fatwa iaitu seluruh rakyat perlu taat kepada pemimpin. Sesiapa yang mogok dan tidak mahu makan akan terjatuh talak atas isterinya.
Fatwa tersebut telah disangkal oleh Imam Malik yang meriwayatkan hadis bahawa tidak ada talak bagi orang yang dipaksa. Tindakan itu juga telah menyebabkan beliau ditangkap dan disebat kerana melawan khalifah Abu Ja’far al-Mansur.
Tokoh ketiga adalah Imam Syafie yang menyokong Mazhab Syafie pernah didakwa menyokong syiah dan orang yang dengki dengan dirinya iaitu Mutharrif bin Mazin. Mutharrif telah mempengaruhi khalifah Harun ar-Rasyid untuk mengkap Imam Syafie dan orang-orang Alawiyin.
Tidak berhenti disitu sahaja, Mutharrif turut memfitnah Imam Syafie terlibat dalam rancangan mengganggu-gugat kekuasaan Harun ar-Rasyid. Kemudian Imam Syafie ditangkap. Tangan dan kakinya diikat dengan rantai lalu dibawa berarak di jalanan sebagai seorang yang dituduh melawan kekuasaan khalifah.
Keempat pula Imam Ahmad bin Hanbal yang pernah disebat dan dipenjara selama 30 bulan oleh Khalifah al-Makmun kerana tidak mengakui bahawa al-Quran adalah makhluk yang diyakini oleh aliran Muktazilah.
Ini selepas halifah al-Makmun sangat menyukai bidang falsafah dan mulai memaksakan pandangannya tentang al-Quran adalah makhluk seperti manusia. Malah beliau turut memaksa para ulama untuk mengikuti pemikirannya.
Namun Imam Ahmad menolak dan meyakini bahawa al-Quran adalah kalamullah dan bukan makhluk. Setelah itu beliau dipenjara namun dibebaskan pada zaman pemerintahan khalifah al-Mutawakkil.
Terakhir adalah Ibnu Taymiyah, beliau juga pernah dipenjarakan di Mesir kerana berbeza pendapat dengan ulama lain yang sezaman dengannya. Setelah itu beliau dibebaskan dan kemudian berhijrah ke Syam dan mengajar di Syria. Namun di sini beliau sekali lagi dipenjara selama 5 bulan kerana berbeza pendapat dalam hal persoalan sumpah dengan talak.
Setelah dibebaskan tidak lama kemudian beliau sekali lagi ditangkap dan dipenjara kembali bersama muridnya yang setia iaitu Ibnu Qayyim al-Jauziyah. Beliau akhirnya jatuh sakit dan meninggal dunia.
Begitulah kisah lima orang ulama besar yang pernah dipenjarakan ketika zaman mereka sehingga ada di antara mereka meninggal dunia di dalam penjara.
Ujian yang diberikan oleh Allah kepada mereka dalam menegakkan hukum Allah. Mereka terus berjuang dan bertahan walaupun ditekan oleh pemerintah yang zalim.