InspirasiSemasa

Budak rajin terima beras sebagai upah

Bukit Mertajam: Ketika kanak-kanak seusianya lebih gemar bermain permainan video, melayari Internet dan leka dengan gajet elektronik masing-masing, murid tahun lima ini pula mencari keseronokan dengan membantu jiran.

Muhammad Hanif Zakaria, 11, dari Kampung Bukit Teh, di sini memanfaatkan masa lapangnya dengan kerja berfaedah termasuklah mengecat meja milik jirannya yang dilakukan selepas tamat sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pendemik Covid -19.

Kisah yang tular di media sosial selepas jirannya, Muhammad Faeez Salleh, 30, memuat naik video anak muda itu sedang mengecat dan enggan menerima upah wang tunai, namun sebaliknya mahukan beras untuk menggantikan hasil titik peluhnya sebagai ganti telah menjadi tumpuan dengan sikap yang terpuji untuk membantu meringankan bebanan keluarganya

Disebabkan itu, kata Muhammad Faeez, timbul salah faham apabila ada warganet yang menyangka Muhammad Hanif atau mesra dipanggil Anis, daripada keluarga susah.

“Dia daripada keluarga sederhana, ibu dan ayahnya juga masih ada tinggal bersama. Cuma ada yang salah sangka kerana dalam salah satu video dimuat naik, saya beritahu Muhammad Hanif memilih untuk menerima beras sebagai upah dan bukannya wang.

“Sebenarnya, dia pilih beras bukan sebab keluarganya susah, tetap dia beritahu mahu menikmati makanan itu bersama keluarganya,” katanya dalam temubual bersama Harian Metro

Muhammad Faeez yang juga tenaga pengajar kimpalan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-Tech) berkata, video tular itu dirakam kelmarin ketika Muhammad Hanif datang ke bengkelnya dan memberitahu mahu membantu mengecat meja.

“Dalam masa sama saya mahu ajar dia kemahiran mengecat dan rakam video itu untuk suka-suka saja. Tidak sangka pula tular.

“Saya bersyukur ada juga orang yang faham mesej saya cuba sampaikan iaitu kanak-kanak usia seperti Muhammad Hanif yang rajin tidak seperti budak seusianya,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Hanif, Zakaria Haron, 48, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, anak bongsunya itu memang seorang yang ringan tulang dan tidak lokek membantu.

“Sejak dulu lagi dia begitu, malah jika ada kenduri, dia akan turut sama membantu.

“Ada kalanya daripada pagi hingga petang dia tolong dan sebagai bapa, saya kagum dengannya serta menyokongnya selagi dia melakukan perkara bermanfaat,” katanya.

Oleh : NurFaisal Hakim  – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM / AJ

 

Related Articles

Back to top button