SIBERIA : Seekor beruang kutub di Siberia ditemui dalam keadaan yang menyedihkan ketika pasukan penyelamat berjuang menyelamatkannya di Pulau Dickson di Artik Siberia yang terpencil.
Menurut laporan DailyMail, beruang kutub betina yang kurus dan dehidrasi itu ditemui di dalam sebuah parit berlumpur dengan beberapa kesan tembakan.
Sebuah video menunjukkan haiwan yang cedera itu terbaring dalam kesakitan dan hampir tidak bergerak dan nampak seolah-olah merayu pertolongan orang ramai.
Harrowing moment starving polar bear is found in a ditch barely able to move with multiple gunshot wounds in remote Russian Arctic https://t.co/5Pdvp7gVab
— Daily Mail Online (@MailOnline) September 7, 2022
Beruang kutub itu kemudian diterbangkan ke Moscow dan siasatan jenayah dijalankan untuk menentukan bagaimana ia ditembak. Namun, tidak jelas sama ada ia ditembak kerana membahayakan manusia atau ditembak oleh pemburu haram.
Kesimpulan awal daripada seorang doktor yang memeriksa haiwan itu mendapati ia ditembak dengan peluru buatan sendiri yang menyebabkan beberapa luka di bahagian belakang dan kaki.
Video juga menunjukkan beruang itu dibius sebelum diberi pertolongan cemas, dan dimasukkan ke dalam pengangkutan ke Moscow dalam perjalanan sejauh 2,735.9 kilometer.
Ketua badan pemerhati alam sekitar Russia, Svetlana Radionova berkata pakar zoo Moscow berjuang menyelamatkan beruang itu, bagaimanapun sukar meramalkan keputusannya.
Menurutnya lagi, memburu beruang adalah haram dan jika didapati menjadi punca kecederaan, pendakwaan akan diteruskan.