Covid19KemanusiaanSemasa

“Sebelum ini saya kutip-kutip kotak. Tapi covid ni…”

Siri ummah bantu ummah

Ada perasaan sayu yang muncul apabila sampai di rumah ini. Kita akan disambut dahulu dengan longgokan barangan terpakai di dalam guni, kotak-kotak, cermin mata hitam, beg, topi, baju, dan seluar. Semua barangan itu diletakkan di ruangan berdinding zink karat dan kanvas belang lusuh yang bersambung dengan rumah utama.

Pemandangan yang menyambut kami

Kita automatik akan tertunduk-tunduk apabila masuk ke sana kerana banyak barangan bergantungan. Ditambah suasana kelam walaupun ia terletak di tepi jalan. Mungkin kerana tinggi bumbung itu cuma enam kaki, beratap zink yang tidak ada siling. Bahang panas memang menyengat ubun-ubun.

Di kedai barangan terpakai itulah duduk Encik Kamaruddin menunggu pelanggan. Ada dua orang pelanggan Bangladesh yang bersilang tangan belakang, tunduk memerhati barangan jualan, selepas beberapa minit mereka berlalu.

Dari kedudukan rumah dan kedai barangan terpakai itu, memang tidak akan ada orang menyangka di situ ada kedai. Hanya penduduk sekitar yang tahu ataupun kebetulan lalu di situ. Namun untuk ikhtiar hidup ia adalah sesuatu yang cukup besar.

Encik Kamaruddin bersama isteri dan cucu yang berhati kental

Encik Kamaruddin sudah berusia 60 tahun. Wajahnya tidak nampak perkataan menyerah. Matanya memandang jauh ke hadapan, tidak kosong tetapi mengandung banyak beban. Di sebelahnya berdiri isteri yang merangkul leher seorang anak lelaki yang usia empat tahun.

“Ini siapa mak cik?”

“Cucu. Saya tak ada anak. Ada anak angkat sahaja.” Ramah dia menjawab soalan kami. Kami berbual-bual lagi tentang keluarga sebelum sampai ke soalan yang berikutnya.

Apabila ditanya kepada Encik Kamaruddin tentang covid dia menjawab,

“Sebelum ini saya kutip-kutip kotak. Tapi covid ni, begini jelah.”

“Ada minta mana-mana bantuan, mak cik?”

“Tidak ada. Kami rasa kami mampu lagi berusaha.”

“Zakat, atau yang lain-lain?”

“Tak ada. Kami segan. Ramai lagi yang susah daripada kami. Kami mampu lagi.”

Jelas dan tegas jawapan Encik Kamaruddin dan isteri. Untuk mereka, mereka masih mampu. Masih ada anak angkat yang sangat bertanggungjawab dan kudrat empat kerat yang boleh diperah. Walaupun begitu mereka tetap menyambut baik sumbangan yang datang.

Nama keluarga ini termasuk dalam senarai 500 asnaf yang layak dibantu dan MAPIM Malaysia dalam Misi Ummah Bantu Ummah di Sabak Bernam. MAPIM mengunjungi dan menyalurkan sumbangan asas yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah. Terima kasih, MAPIM atas sumbangan ini,” kata Encik Kamaruddin. Daripada nada suaranya terdengar jelas kelegaan.

Mereka mungkin tegas, tetapi hakikat tidak dapat menyembunyikan bahawa mereka juga perlu dibantu. Pandemik covid dan usia menjadikan ekonomi mereka sudah tidak seperti dahulu lagi. Memang ia tidak menyelesaikan masalah mereka, tetapi ia mampu memberi inspirasi bahawa masih ramai yang prihatin kepada nasib sesama kita.

Tuan Hj Faris Hussain Pengarah Domestik MAPIM Malaysia

Itulah yang ditekankan oleh Haji Faris Hussain, Ketua Misi Ummah Bantu Ummah pada kali ini,

“Kita memang tidak dapat menyelesaikan semua masalah. Kita bukan superhero, tetapi kita datang memberi bantuan kerdil ini untuk membuka mata semua pihak bahawa masih ramai yang boleh dibantu, masih banyak ruang untuk infaq, dan yang berasa tidak dibantu, kami mahu mereka merasa masih ada harapan lagi di Malaysia ini.”

#MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300 & RM500 untuk pelbagai bantuan meliputi makanan, pembaikan rumah asnaf dan juga perkhidmatan sokongan perubatan menerusi mobile klinik. Sumbangan boleh dibuat melalui:

www.BantuUmmah.com

ATAU

menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066

MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button