PETALING JAYA : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sedar terhadap kata-kata cacian yang dilontarkan rakyat kepadanya. Tanpa mempedulikan kata-kata itu beliau sebaliknya mengajak rakyat supaya masing-masing memainkan peranan dalam menangani wabak COVID-19.
Tan Sri Muhyiddin berkata rakyat bebas untuk mengkritik kerajaan, namun, tanggungjawab untuk mengawal pandemik ini harus dipikul oleh semua dan tidak bergantung pada kerajaan semata-mata.
Tambah beliau, hal ini bukan melibatkan satu pihak sahaja, ia melibatkan setiap lapisan masyarakat.
“Mereka boleh menyalahkan pemerintah, mereka boleh memarahi barisan menteri, saya terima. Panggilan seperti ‘Perdana Menteri bodoh’ pun tidak mengapa,” -Perdana Menteri / Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri berkata demikian dalam program khas Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 di RTM1 malam tadi.
Beliau sedar usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19 ini bukan mudah.
Muhyidin menyeru masyarakat untuk bersatu kerana dengan ini sahaja pandemik ini dapat dikawal dengan jayanya.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk kuarantin kendiri untuk mencegah penularan COVID-19 yang sedang mencanak naik, dengan jumlah kes menjangkau 6,000 ke atas.
Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan segala usaha kerajaan akan menjadi sia-sia jika rakyat tidak mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. -BERNAMA
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) -Nurshazlin Shahrom