Covid19PendidikanSemasa

“Saya minta maaf ” – Ebit Liew

Perlu kebenaran IPT, patuh SOP penghantaran pulang MKN

Kuala Lumpur: Keterujaan membantu pelajar terkandas dek penangguhan pendaftaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi menyebabkan Ustaz Ebit Liew menyewa 20 buah bas untuk membantu mereka pulang.

Namun beliau diminta menangguhkan bantuan bas sewa khas itu kerana memerlukan kebenaran daripada pihak IPT.

Ustaz Ebit turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di laman sosial rasminya, semalam.

“Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran UPSI terutama Vice Cancelor (Naib Canselor) sendiri yang menghubungi pihak saya tadi supaya membuat permohonan maaf terbuka.

“Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga. Saya tengok pelajar macam anak-anak saya sendiri,” katanya dalam Facebook berkenaan.

Menurutnya, dia terpaksa menangguhkan 20 bas yang disewa untuk penuntut berdasarkan keluhan mereka.

“Sebab dulu saya berhari-hari lapar tu biasa. Saya memang jarang balik kampung sebab tiada duit, selalu tidur masjid dulu. Makan pun tumpang dekat masjid.

“Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu, ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil,” katanya.

Katanya, dia menyewa dan menyediakan bas seperti kenderaan awam lain.

“Biasa naik bas bayar tapi kali ini free (percuma) dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke bus stop (stesen bas) dan naik train (tren).

“Saya tangguhkan 20 bas sehingga diberi kelulusan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya menghargai usaha dilakukan pendakwah itu tetapi sepatutnya mendapatkan kelulusan universiti terlebih dulu.

“Jika berlaku perkara tidak diingini di tengah jalan, pihak universiti bertanggungjawab sepenuhnya sedangkan kami tidak mengetahui perkara ini.

“Dalam keadaan krisis pandemik Covid-19, Ebit perlu mematuhi segala proses penghantaran pulang penuntut dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/627391/ebit-tangguh-sewa-bas-hantar-penuntut-ipt-pulang-kampung

Katanya, pihaknya tidak mahu sebarang perkara negatif berlaku terutamanya hal berkenaan pandemik dan juga keselamatan pelajar sepanjang pulang ke kampung mereka.

“Saya ‘bapa’ kepada pelajar-pelajar ini, nak bawa ‘anak’ saya keluar pastinya perlu mendapat keizinan saya terlebih dulu.

“Bagaimanapun, pihak universiti menghargai usaha murni dilakukan Ebit dan berterima kasih kepadanya,” katanya.

Datuk Mohammad Shatar berkata, penghantaran yang dilakukan Ebit semalam membabitkan 29 pelajar baru ke Pantai Timur dan semuanya sudah diselesaikan pengurusan universiti.

“Pelajar baharu yang lain berada di asrama dan kebajikan mereka turut dijaga pihak universiti.

“Bagaimanapun kita tidak menghalang untuk mereka pulang tetapi perlu memaklumkan kepada pengurusan kolej masing-masing dan semua SOP perlu diikuti dengan baik,” katanya

Pada 2 Oktober, Ustaz Ebit Liew memobilisasi sebuah bas untuk menghantar para pelajar UPSI pulang ke kampung halaman.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button