Semasa

“Saya akan lebih aktif di Youtube, Twitter dan kembali tulis buku” – Dr Zul

PUTRAJAYA : Walaupun jawatan sebagai Menteri di Jabatan Hal Ehwal Agama berakhir semalam, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tetap akan terus aktif di sosial media seperti Youtube dan Twitter, sampaikan kuliah dan menjawab soalan berkaitan agama.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi melalui laman Twitter beliau berikutan semua menteri kabinet telah meletak jawatan susulan Perdana Menteri Malaysia kehilangan majoriti selepas parti UMNO menarik balik sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Mungkin selepas ini saya lebih aktif di Youtube Channel dan Twitter Spaces! Kembali menulis buku, menyampaikan kuliah dan menjawab soalan-soalan agama,” katanya menerusi laman Twitter.

Dr Zulkifli turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan rasa syukur atas lantikan oleh DYMM SPB YDPA sebagai Senator dan Menteri adalah tanggungjawab dan penghormatan yang dilaksanakan sedaya upaya.

“Menjunjung kasih atas kepercayaan Tuanku kepada patik pacal yang senantiasa mendoakan kebaikan buat Tuanku.

“Terima kasih juga kepada semua Pihak Berkuasa Agama Negeri yang memberikan kerjasama penuh bagi semua urusan hal ehwal Islam melibatkan Persekutuan Negeri. Pastinya ia adalah untuk manfaat rakyat khususnya umat Islam,” ujarnya.

Sepanjang beliau memegang jawatan tersebut, sebanyak RM591.9 juta telah diagihkan sejak Mac 2020 melalui inisiatif Musaadah sejak bermulanya pandemik Covid-19 oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab beliau.

“Semua inisiatif kami sepanjang 2002-2021 akan saya bentangkan dalam minggu ini, insya-Allah. Rakyat perlu tahu ke mana setiap sen zakat, infaq, waqaf yang mereka salurkan melalui kami.

Saya berharap kerajaan yang bakal mengambil alih akan meneruskan inisiatif Musaadah ini walaupun saya telah tiada.

Pada Julai lalu, Dr Zulkifli menyertai Misi Bantuan Ihsan: Panggilan Pulau Ke Pulau Redang dan Pulau perhentian bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menghantar bantuan bekalan makanan dan keperluan asas kepada 700 keluarga dan individu yang terjejas di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Beliau merasmikan Majlis “Flag-Off” yang diadakan di Putrajaya dan turut dihadiri pelakon dan pelawak, Zizan Razak.

Oleh Hafeez Anuar

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button