GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, yang terlibat dalam insiden tembakan di pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis Selasa lalu selesai menjalani pembedahan membuang dua butir peluru pada perut semalam.
Pembedahan yang mengambil masa lebih empat jam bermula pukul 1.30 petang itu dijalankan oleh kumpulan pakar Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar ketika dihubungi Utusan berkata, anggota terbabit kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan tersebut.
“Anggota itu masih belum sedar dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP untuk pemantauan pakar.
“Kita masih menunggu makluman daripada pihak hospital berhubung pembedahan susulan membuang sebutir lagi peluru pada paru-paru anggota terbabit. Kita akan maklum kelak sebaik sahaja menerima maklumat tersebut,” katanya.
Terdahulu, Norihan tiba di HPP dengan ambulans pada pukul 9.20 malam kelmarin selepas selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Dalam kejadian pukul 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.
Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak di bahagian kiri perut. – UTUSAN