Sarawak tubuh pasukan khas siasat kayu balak hanyut

KUCHING: Kerajaan Sarawak menubuhkan jawatankuasa pasukan petugas khas yang diketuai Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli bagi mengendalikan siasatan longgokan sisa kayu balak hanyut di Sungai Baleh, Kapit, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datuk Hamden Mohammad, berkata jawatankuasa itu terdiri daripada pelbagai agensi serta jabatan kerajaan selain pemegang taruh.
“Jawatankuasa itu akan mengendalikan siasatan mengenai insiden dan untuk mencari jalan penyelesaian bagi memantau isu berkenaan.
“Berdasarkan penilaian di lapangan serta pengawasan udara dilakukan Jabatan Hutan serta agensi kerajaan lain mendapati kejadian disebabkan pengumpulan serpihan kayu balak di tapak binaan Empangan Hidroelektrik (HEP) Baleh, ia kemudian keluar melalui lencongan saliran dan memasuki Sungai Rajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.