Sanggup jual harta benda demi laksana ibadah korban, apa hukumnya?
Syukur ke hadrat Allah SWT, kita masih diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini dan melaksanakan ibadah korban, satu ibadah yang sangat di tuntut kepada umat Islam.
Namun, kita juga harus sedar bahawa ada segelintir masyarakat yang tidak berkemampuan untuk laksana ibadah korban atas faktor masalah kewangan, sehingga ada yang sanggup menjual harta benda semata-mata untuk mengerjakan ibadah itu.
Persoalannya, adakah patut mereka melakukan sedemikian demi mendapat fadhilat melaksanakan korban?
Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang itu dikira berkemampuan apabila dia mempunyai lebihan harta daripada keperluan diri dan tanggungannya bagi Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dan disunatkan untuk melaksanakan korban daripada harta yang dimilikinya itu.
“Ini bermakna harta yang dimilikinya melebihi keperluan harian dan tanggungannya bagi hari-hari yang telah disebutkan di atas dan lebihan itu mencukupi untuk melaksanakan korban dengan hartanya itu,” jelasnya.
Sementara itu, para ulama telah menjelaskan bahawa perintah untuk berkorban pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq ialah bagi golongan yang berkemampuan. Imam al-Khatib al-Syarbini menjelaskan hal ini dengan berkata bahawa:
وَالْمُخَاطَبُ بِهَا الْمُسْلِمُ الْحُرُّ الْبَالِغُ الْعَاقِلُ الْمُسْتَطِيعُ
Maksudnya: Golongan yang ditujukan perintah untuk melaksanakan korban itu ialah orang Islam, merdeka, baligh, berakal dan berkemampuan. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 6:123)
Kemudian, Imam al-Zarkasyi menerangkan lagi tentang makna berkemampuan bermaksud hendaklah seseorang itu mempunyai lebihan keperluan bagi diri dan tanggungannya pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq kerana waktu itu merupakan waktu ibadah korban dilaksanakan.
Ia sama seperti syarat sedekah sunat yang ingin diberikan bahawa hendaklah ia lebihan daripada keperluan harian diri dan tanggungan seseorang.
Walau bagaimanapun, jika seseorang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban, maka dia tidak dituntut untuk menjual hartanya yang dikategorikan sebagai keperluan hidup seperti rumah untuk tempat berteduh, kenderaan untuk memudahkan urusan sehariannya dan seumpamanya.
Adapun jika tidak mempunyai keperluan yang cukup bagi hari-hari yang disebutkan, maka dia dikira tidak berkemampuan dan tidak diperintahkan untuk melaksanakan korban yang sunat tersebut.