DuniaSemasa

Sahara Barat ‘ketara semakin teruk’

Situasi di Sahara Barat ‘ketara semakin teruk’ sepanjang tahun lalu susulan permusuhan yang meletus antara Maghribi dan gerakan merdeka Polisario di kawasan pertikaian.

Menurut sumber, Maghribi melihat Sahara Barat sebagai sebahagian wilayahnya, tetapi Polisario yang diiktiraf antarabangsa sebagai wakil rakyat Sahrawi sekian lama menuntut kemerdekaan.

“Penyambungan semula permusuhan antara Maghribi dan Frente Polisario adalah kemunduran besar terhadap pencapaian penyelesaian politik,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam laporan yang diserahkan kepada Majlis Keselamatan.

“Masih ada risiko yang jelas untuk meningkat sementara permusuhan berlanjutan,” tambahnya dalam laporan itu.

Sehubungan itu, Guterres menggesa supaya pihak berkaitan menghentikan situasi itu dan segera mengakhiri permusuhan.

Katanya, kedua-dua pihak mesti bersetuju dengan pelantikan perutusan PBB untuk memulakan kembali dialog politik mengenai Sahara Barat.

Mengikut sejarah, Polisario berperang dengan Maghribi untuk mencapai kemerdekaan dari 1975 lagi sehingga PBB memulakan gencatan senjata pada 1991.

Konflik dilihat terus berleluasa dan tanpa perwakilan diplomatik sejak Mei 2019, apabila kesemua calon yang dicadangkan oleh Guterres ditolak kedua-dua pihak.

Pada Disember tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump bertindak mengiktiraf kedaulatan Maghribi di seluruh Sahara Barat.

Bagaimanapun, Joe Biden selaku Presiden baharu negara Uncle Sam itu belum lagi memberi komen mengenai langkah itu.

Ogos lalu, negara jiran Maghribi, Algeria yang juga dianggap pesaing merangkap penyokong utama Polisario memutuskan hubungan diplomatik dengan Rabat terutamanya berhubung situasi di Sahara Barat.

 

Related Articles

Back to top button