JUBA : Masalah kebuluran yang dihadapi penduduk di Sudan Selatan telah menyebabkan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak dan seorang dewasa meninggal dunia.
Hal ini berlaku susulan Program Makanan Sedunia (WFP) menghentikan bantuan makanan akibat kekurangan dana.
Menurut laporan Badan Penyiaran Britain (BBC), kematian itu berlaku di kem pelarian di negeri Warrap, utara Sudan Selatan melibatkan seorang kanak-kanak yang baru berusia lima tahun.
“Saya melihat ibu kanak-kanak itu duduk di sebelah kubur kecil anak lelakinya yang baru digali. Tiga anaknya yang lain semuanya sangat kurus dan lemah.
“Dalam satu kem, saya melihat orang rebah kerana keletihan secara fizikal. Mereka jelas tidak mempunyai makanan yang mencukupi.
“Saya tidak melihat sesiapa memasak atau apa-apa makanan disimpan di mana-mana tempat di kem itu,” kata salah seorang pekerja sebuah badan kemanusiaan Medecins Sans Frontieres, Sami Al Subaihi berkata, seorang kanak-kanak yang mati akibat kelaparan itu baru berusia lima tahun
Beliau menambah, lebih 20,000 orang yang tinggal di kem pelarian itu berisiko mengalami kebuluran.
Pada Jun lalu, badan antarabangsa itu berkata, ia memerlukan dana sekitar AS$426 juta (RM1.88 bilion) untuk meneruskan bantuan makanan.
Namun, masyarakat antarabangsa kini telah beralih tumpuan kepada krisis lain termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menjadi sebab mereka gagal mendapat bantuan kewangan tersebut.
Seorang pegawai WFP memberitahu stesen penyiaran BBC bahawa badan itu telah menggantung bantuan kepada 1.7 juta orang kerana kekurangan dana, tetapi terus membantu 4.5 juta penduduk yang lain.
Untuk rekod, Sudan Selatan telah dilanda konflik keganasan sejak mencapai kemerdekaan pada 2011 dan ini telah menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan makanan.
Keadaan itu juga telah diburukkan dengan banjir empat musim berturut-turut yang telah memusnahkan rumah dan tanah ladang sehingga menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal.