MELBOURNE : Hujan lebat dan ribut yang melanda kawasan pantai timur Australia telah memaksa ribuan penduduk untuk berpindah ke barat daya Sydney, bandar terbesar negara itu.
Menurut laporan BBC, Biro Meteorologi melaporkan lebih 200 milimeter (mm) hujan melanda banyak kawasan dengan sebahagiannya mencecah sehingga 350mm yang boleh menyebabkan risiko banjir di sepanjang Sungai Nepean.
“Kami kini menghadapi bahaya dalam pelbagai aspek seperti banjir kilat, banjir sungai dan hakisan pantai.
“Ini adalah situasi kecemasan yang mengancam nyawa,” kata Menteri Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Steph Cooke dalam taklimat media televisyen.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya mempertimbangkan semula perjalanan bercuti dengan cuaca buruk melanda pada awal cuti sekolah.
Biro cuaca memberi amaran bahawa sepanjang wilayah pantai timur dari Newcastle ke Teluk Bateman di negeri New South Wales berisiko terjadinya banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan lebat yang dijangka meningkat dalam tempoh dua hari akan datang.
Hujan lebat menyebabkan empangan utama Sydney melimpah, kata pihak berkuasa air sambil menambah permodelan menunjukkan tumpahan itu akan setanding dengan tumpahan besar yang berlaku pada Mac 2021 di Empangan Warragamba.
Untuk rekod, seramai 29 orang diselamatkan daripada bencana banjir sejak beberapa hari lalu termasuk seorang yang tergantung pada tiang selama sejam ketika anggota penyelamat bergelut untuk menyelamatkan mangsa.
Kerajaan Australia menghantar bantuan 100 tentera termasuk dua helikopter bagi misi membantu dan menyelamat mangsa, kata Menteri Pertahanan, Richard Marles.