Rayuan emak angkat Amir, mohon netizen jangan salahkan ibu kandung
Biar mahkamah yang tentukan
Rawang : Tanah kubur masih merah, ada netizen yang sudah membuat spekulasi tentang tragedi yang menimpa Amir atau nama penuhnya Zubaidi Amir Qusyairi. Spekulasi yang mendahului siasatan pihak polis. Malah ada yang terus menyalahkan ibu kandung dan ayah tiri Amir.
Norlida Abu Hassan, 50 emak angkat Amir yang ditemui di rumahnya Rawang mengakui masih bersedih dengan tragedi itu. Namun dia menegaskan,
“Saya tidak ada dendam dengan emak kandung dan ayah tiri Amir. Saya tidak ada dendam dengan keluarga mereka. Malah saya sudah pun maafkan mereka. Saya merayu jangan ada sesiapa salahkan mereka. Biar pihak polis yang buat kerja mereka. Jangan kita pula yang berdosa.”
Menurut Puan Norlida lagi, sebelum kejadian hubungannya dengan ibu kandung dan ayah tiri Amir adalah normal walaupun tidak mesra. Malah ayah tiri Amir sendiri yang membawa Amir berjumpa mereka ke Kuala Lumpur sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin diketatkan.
“Sehelai daun yang gugur pun di bawah pengetahun dan izin Allah. Begitu juga kejadian yang menimpa Amir. Semuanya sudah dalam perancangan Allah,” tambah Puan Norlida.
Sebelum ini Amir ditemui meninggal dunia di rumah ibu kandunganya di di Taman Krubong Jaya dekat Alor Gajah, Melaka. Siasatan pihak polis masih berjalan.