Covid19Dunia

Rakyat Malaysia tidak perlu jalani kuarantin untuk masuk ke India

KUALA LUMPUR : Bermula semalam, pengembara dari Malaysia yang lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin untuk memasuki India.

Menurut Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia, bagi pengembara lengkap divaksin yang tiba di India dari Malaysia ujian RT-PCR Covid-19 prapenerbangan juga tidak diwajibkan.

“Sebagai pemacu vaksinasi terbesar di dunia, bermula dengan vaksin Aatmanirbhar India dan protokol Covid-19 ditetapkan, sekatan perjalanan untuk pelancong yang datang ke India dari Malaysia dilonggarkan.

“Suruhanjaya Tinggi India mendoakan keselamatan dan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan di India untuk pengembara Malaysia,” menurut Suruhanjaya Tinggi itu menerusi catatan Facebook.

Kerajaan Malaysia dan India mengiktiraf sijil vaksinasi dalam amalan diplomatik dan di lapangan walaupun tiada pengiktirafan rasmi bersama bagi pensijilan Covid-19 yang ditandatangani di antara kedua-dua negara tersebut.

Pintu pelancongan India dibuka semula pada 15 November lalu bagi ketibaan dari semua negara dengan beberapa sekatan bergantung dari mana pengembara berlepas.

Menurut laporan di CNN Travel, penerima vaksin yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau di negara yang mempunyai perjanjian pengiktirafan bersama sijil vaksin dengan India tidak perlu mengemukakan ujian semasa ketibaan berkuat kuasa hari ini.

Setakat 10 Februari, senarai itu merangkumi 82 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dan mereka yang tidak memenuhi syarat masih perlu melakukan ujian.

Laporan itu turut menyatakan, tiada kuarantin sejurus ketibaan dan penumpang antarabangsa diminta “memantau sendiri kesihatan mereka” selama 14 hari selepas ketibaan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button