Pusat pelupusan al-Quran diwujudkan di setiap daerah- JAIP

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
KUANTAN- Pusat pelupusan al-Quran di setiap daerah akan diwujudkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di negeri ini bagi memudahkan dan melancarkan proses pelupusan naskah al-Quran.
Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Zakaria Mohamed berkata, dalam masa terdekat ini akan dibina pusat pelupusan al-Quran menggunakan teknologi khas.
“Pada masa ini JAIP memiliki dua buah pusat pelupusan al-Quran di daerah Pekan dan Jerantut yang menggunakan teknologi serta kepakaran khas untuk memproses abu al-Quran.
“Di Temin, Jerantut teknologi dan kepakaran yang beliau gunakan diimport dari Jepun dengan kos kira-kira RM38,000,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi tujuan pengumpulan sebelum dilupuskan, mana-mana individu yang mahu melupuskan al-Quran boleh menghubungi pejabat Agama Islam daerah masing-masing.
Jelasnya kaedah pelupusan al-Quran mempunyai cara tertentu berpandukan rujukan-rujukan dalam Islam yang mana ia perlu dikumpulkan kepada pihak pejabat agama Islam daerah sebelum ke pusat pelupusan.
Sebanyak enam tan abu al-Quran telah dilupuskan di Laut China Selatan pada kedudukan kira-kira 10 batu nautika dari persisiran pantai pangkalan TLDM Tanjung Gelang.
“Jumlah kali ini paling tinggi mengambil kira al-Quran yang musnah akibat kejadian banjir yang kebanyakannya datang dari daerah yang terjejas teruk iaitu dari Bentong dan Temerloh.
“Seperti ramai sedia maklum, dua kali banjir melanda daerah Bentong mengejut dan mangsa tidak sempat menyelamatkan al-Quran, jadi ia perlu ‘diselamatkan’ dengan cara baik serta salah satunya adalah dengan pelupusan abu al-Quran di laut,”
-Agensi